Mungkin agak terlambat untuk mengucapkan selamat bercuti kepada semua murid SKKA memandangkan cuti sudahpun bermula. Namun, apa yang hendak ditekankan di sini adalah berkaitan keselamatan diri di musim cuti sekolah ini. Jangan kerana terlalu seronok bercuti sehingga duka menyapa kita. Jangan membuat aktiviti yang boleh membahayakan nyawa sendiri. Buatlah aktiviti yang berfaedah terutamanya kepada bakal calon UPSR tahun depan. Ingatlah bahawa dalam kita seronok bercuti ini, kita masih ada tanggungjawab yang perlu digalas pada masa-masa yang mendatang. Kepada murid tahun enam 2008, terima kasih diucapkan atas segala kerjasama yang diberikan sepanjang enam tahun di SKKA. Berat hati melepaskan mereka pergi memandangkan mereka membesar di depan mata para guru selama enam tahun ini. Pun begitu, hukum alam perlu dipatuhi. Tuntutan masa dan waktu tidak boleh dielak. Selamat berjaya kepada mereka. Apapun, selamat bercuti diucapkan kepada semua warga SK Kuala Atok. Sekolah akan bercuti mulai 14 November 2008 - 4 Januari 2009.
18 November 2008
14 November 2008
Hari Ini Dalam Sejarah
Ada tiga peristiwa utama yang berlaku pada hari ini. Pertama, Hari Anugerah Kecemerlangan telah berlangsung dengan jayanya. Kedua, SKKA sekali lagi telah dipilih sebagai Sekolah Terbaik Kokurikulum ( Luar Bandar ) Daerah Raub buat kali kedua berturut-turut. Ketiga, sudah tentulah keputusan UPSR yang dinanti-nantikan oleh murid tahun enam dan juga guru dan ibu bapa. Keputusan UPSR SKKA bagi tahun 2008 menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya. Keseluruhannya peratus SKKA adalah 68.1 % meningkat sedikit daripada tahun 2007. Calon yang berjaya memperoleh 5A juga meningkat kepada 4 orang berbanding 2 pada 2007. Untuk rekod, kejayaan 4 orang murid mencatatkan 5A merupakan rekod baru sekolah ini. Mereka adalah :
1. Muhammad Syamir bin Subri
2. Nur Nabilah binti Mohd Shamsudin
3. Ainin Sofia binti Azmi
4. Roslayni binti Misran
Semoga kejayaan mereka dicontohi oleh murid - murid SKKA yang lain. Tahniah dan syabas buat mereka..
P/S : Maaf tiada gambar untuk catatan kali ini. Akan dimasukkan kemudian.
Harap maaf.
10 November 2008
Debaran Keputusan UPSR
Umum sudah mengetahui bahawa keputusan UPSR akan diumumkan pada 13 November 2008 ( Khamis ) ini. Debaran dan suara-suara gementar sama ada di kalangan murid mahupun guru sudah mula berlagu. Tidak dilupakan juga tentunya para ibu bapa yang sudah pasti menaruh harapan setinggi gunung untuk kejayaan anak-anak. Walau apapun keputusan yang bakal mereka terima, kita perlu berdiri di belakang mereka dan menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada anak-anak kita. Mungkin Khamis ini adalah hari bahagia bagi sebahagian murid, mungkin juga tidak bagi yang lain. Tunjukkan sokongan, jangan dimarahi mereka kerana mungkin mereka telah berusaha sehabis baik, cuma masanya belum tiba.Buat masa ini, mari kita doakan yang baik-baik sahaja untuk mereka menjelang hari Khamis ini.
02 November 2008
Esok Periksa!
Esok periksa! Sudahkah murid-murid SKKA bersedia? Jika belum, barangkali mereka akan terseksa seperti imej di atas. Dibelasah dan ditelanjangi dengan semua kekurangan. Peperiksaan akhir tahun ini juga menjadi penentu ukur kemampuan calon-calon UPSR tahun depan. Mampukah mereka menjadi contoh kepada adik-adik. Tunggu dan lihat sahajalah nanti.. Bagi guru pula, episod menanda kertas soalan akan bermula. Timeline yang begitu singkat menjadi cabaran. Semua perlu disegerakan demi mengejar Hari Anugerah. Jangan kelam-kabut cikgu...
Subscribe to:
Posts (Atom)