Masa berlalu begitu pantas sehingga tidak kita sedari 2008 akan berlalu pergi. Terlalu pantas pergi meninggalkan kita dengan azam dan harapan yang belum dicapai. Banyak juga kenangan-kenangan kita tahun ini yang masih segar di ingatan. Baik atau buruk, itulah lumrah kehidupan, itulah warna warni hidup. Apa yang penting, kita menuju ke hadapan dengan pengalaman yang kita dapat dari tahun-tahun sebelumnya. Bagi pihak SKKA, terlalu banyak peristiwa suka dan duka yang dialami tahun ini. Payah juga hendak menceritakan kerana terlalu banyak untuk dikhabarkan. Apapun, semoga tahun 2009 ini menjadi tahun yang lebih baik daripada tahun 2008. Anda bagaimana ?
31 December 2008
Al-Fatihah buat Ayahanda
Tarikh 25 Disember 2008 menjadi catatan sedih buat warga SKKA apabila mantan Yang Dipertua PIBG, Ayahanda Abd. Manab bin Rusi, telah pergi buat selama-lamanya. Pemergiannya secara mengejut pada umur 63 tahun meninggalkan kesan yang mendalam di hati warga SKKA terutamanya para guru di sini. Tiada dapat lagi kami merasai kemesraannya, tiada lagi gelak ketawanya, tiada lagi keramahannya. Tiada perkataan yang sesuai untuk menggambarkan sifat beliau. Katalah apa sahaja, yang pasti kelebihan Allahyarham terlalu banyak untuk digambarkan. Ajaklah Long Manab ke mana sahaja, beliau pasti tidak akan menghampakan. Kuala Lumpur? Melaka ? Berkhemah? Beliau tidak pernah menolak. Jika mahukan bantuan, beritahu sahajalah kepada Long Manab. Allahyarham akan berusaha untuk membantu. Allahyarham ibarat duta dan ikon kepada SKKA. Panggillah arwah dalam apa-apa majlis sekolah, pasti arwah akan hadir. Hatta tidak lagi bergelar YDP PIBG, arwah tetap hadir memberi sokongan. Sesungguhnya pemergian beliau ditangisi dan kehilangannya amat besar buat kami. Semoga Allah memberi rahmat kepada roh Allahyarham. Semoga Allah memudahkan jalannya di akhirat kelak sebagaimana beliau memudahkan jalan kami di dunia ini. Al-Fatihah buat Allahyarham Long Manab.
18 November 2008
Selamat Bercuti- Jagalah Keselamatan Diri
Mungkin agak terlambat untuk mengucapkan selamat bercuti kepada semua murid SKKA memandangkan cuti sudahpun bermula. Namun, apa yang hendak ditekankan di sini adalah berkaitan keselamatan diri di musim cuti sekolah ini. Jangan kerana terlalu seronok bercuti sehingga duka menyapa kita. Jangan membuat aktiviti yang boleh membahayakan nyawa sendiri. Buatlah aktiviti yang berfaedah terutamanya kepada bakal calon UPSR tahun depan. Ingatlah bahawa dalam kita seronok bercuti ini, kita masih ada tanggungjawab yang perlu digalas pada masa-masa yang mendatang. Kepada murid tahun enam 2008, terima kasih diucapkan atas segala kerjasama yang diberikan sepanjang enam tahun di SKKA. Berat hati melepaskan mereka pergi memandangkan mereka membesar di depan mata para guru selama enam tahun ini. Pun begitu, hukum alam perlu dipatuhi. Tuntutan masa dan waktu tidak boleh dielak. Selamat berjaya kepada mereka. Apapun, selamat bercuti diucapkan kepada semua warga SK Kuala Atok. Sekolah akan bercuti mulai 14 November 2008 - 4 Januari 2009.
14 November 2008
Hari Ini Dalam Sejarah
Ada tiga peristiwa utama yang berlaku pada hari ini. Pertama, Hari Anugerah Kecemerlangan telah berlangsung dengan jayanya. Kedua, SKKA sekali lagi telah dipilih sebagai Sekolah Terbaik Kokurikulum ( Luar Bandar ) Daerah Raub buat kali kedua berturut-turut. Ketiga, sudah tentulah keputusan UPSR yang dinanti-nantikan oleh murid tahun enam dan juga guru dan ibu bapa. Keputusan UPSR SKKA bagi tahun 2008 menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya. Keseluruhannya peratus SKKA adalah 68.1 % meningkat sedikit daripada tahun 2007. Calon yang berjaya memperoleh 5A juga meningkat kepada 4 orang berbanding 2 pada 2007. Untuk rekod, kejayaan 4 orang murid mencatatkan 5A merupakan rekod baru sekolah ini. Mereka adalah :
1. Muhammad Syamir bin Subri
2. Nur Nabilah binti Mohd Shamsudin
3. Ainin Sofia binti Azmi
4. Roslayni binti Misran
Semoga kejayaan mereka dicontohi oleh murid - murid SKKA yang lain. Tahniah dan syabas buat mereka..
P/S : Maaf tiada gambar untuk catatan kali ini. Akan dimasukkan kemudian.
Harap maaf.
10 November 2008
Debaran Keputusan UPSR
Umum sudah mengetahui bahawa keputusan UPSR akan diumumkan pada 13 November 2008 ( Khamis ) ini. Debaran dan suara-suara gementar sama ada di kalangan murid mahupun guru sudah mula berlagu. Tidak dilupakan juga tentunya para ibu bapa yang sudah pasti menaruh harapan setinggi gunung untuk kejayaan anak-anak. Walau apapun keputusan yang bakal mereka terima, kita perlu berdiri di belakang mereka dan menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada anak-anak kita. Mungkin Khamis ini adalah hari bahagia bagi sebahagian murid, mungkin juga tidak bagi yang lain. Tunjukkan sokongan, jangan dimarahi mereka kerana mungkin mereka telah berusaha sehabis baik, cuma masanya belum tiba.Buat masa ini, mari kita doakan yang baik-baik sahaja untuk mereka menjelang hari Khamis ini.
02 November 2008
Esok Periksa!
Esok periksa! Sudahkah murid-murid SKKA bersedia? Jika belum, barangkali mereka akan terseksa seperti imej di atas. Dibelasah dan ditelanjangi dengan semua kekurangan. Peperiksaan akhir tahun ini juga menjadi penentu ukur kemampuan calon-calon UPSR tahun depan. Mampukah mereka menjadi contoh kepada adik-adik. Tunggu dan lihat sahajalah nanti.. Bagi guru pula, episod menanda kertas soalan akan bermula. Timeline yang begitu singkat menjadi cabaran. Semua perlu disegerakan demi mengejar Hari Anugerah. Jangan kelam-kabut cikgu...
30 October 2008
Jamuan Hari Raya dan Sambutan Hari Lahir Murid Prasekolah
Diadakan pada 30 Oktober 2008 dan turut dihadiri para guru dan ibu bapa murid prasekolah. Makanan pun sedap-sedap. Sayang Cikgu Subri tiada bersama kerana rekod makan sate SKKA masih dipegang olehnya. Selamat kembali bertugas juga diucapkan kepada guru Prasekolah, Puan Norzawati yang telah berkursus selama 14 minggu. Selamat kembali cikgu.
29 October 2008
Perkhemahan Pengakap 2
Gambar-gambar sekitar perkhemahan Pengakap di Kuala Gandah. Saksikanlah aksi-aksi murid dalam aktiviti perkhemahan tersebut. Lihatlah gelagat para guru yang seakan mengimbau memori zaman kanak-kanak mereka. Semoga perkhemahan ini akan menjadi kenangan yang manis kepada murid -murid yang menyertainya. Tidak lupa juga perkhemahan ini adalah perkhemahan terakhir bagi murid tahun 6 bersama SK Kuala Atok sebelum beralih haluan dan cabaran ke sekolah menengah. Seperti biasa, klik gambar untuk imej yang lebih besar.
Jamuan Perdana Aidilfitri 2008
Agak serba salah untuk memaparkan gambar Jamuan Perdana Aidilfitri ini memandangkan majlis ini berlangsung pada 13 Oktober yang lalu. Satu jarak masa yang agak jauh untuk dipaparkan. Pun begitu, memetik pepatah Inggeris " better late than never " ,maka gambar sekitar majlis ini dipaparkan juga untuk tontonan pembaca. Bukan sengaja melewatkan paparan ini, tetapi seperti yang telah dikatakan dahulu, pelbagai masalah menjadi penghalang. Dengan adanya paparan ini diharapkan agar semua berpuas hati. Sila klik gambar untuk imej yang lebih besar.
Subscribe to:
Posts (Atom)