31 December 2008

Al-Fatihah buat Ayahanda



Tarikh 25 Disember 2008 menjadi catatan sedih buat warga SKKA apabila mantan Yang Dipertua PIBG, Ayahanda Abd. Manab bin Rusi, telah pergi buat selama-lamanya. Pemergiannya secara mengejut pada umur 63 tahun meninggalkan kesan yang mendalam di hati warga SKKA terutamanya para guru di sini. Tiada dapat lagi kami merasai kemesraannya, tiada lagi gelak ketawanya, tiada lagi keramahannya. Tiada perkataan yang sesuai untuk menggambarkan sifat beliau. Katalah apa sahaja, yang pasti kelebihan Allahyarham terlalu banyak untuk digambarkan. Ajaklah Long Manab ke mana sahaja, beliau pasti tidak akan menghampakan. Kuala Lumpur? Melaka ? Berkhemah? Beliau tidak pernah menolak. Jika mahukan bantuan, beritahu sahajalah kepada Long Manab. Allahyarham akan berusaha untuk membantu. Allahyarham ibarat duta dan ikon kepada SKKA. Panggillah arwah dalam apa-apa majlis sekolah, pasti arwah akan hadir. Hatta tidak lagi bergelar YDP PIBG, arwah tetap hadir memberi sokongan. Sesungguhnya pemergian beliau ditangisi dan kehilangannya amat besar buat kami. Semoga Allah memberi rahmat kepada roh Allahyarham. Semoga Allah memudahkan jalannya di akhirat kelak sebagaimana beliau memudahkan jalan kami di dunia ini. Al-Fatihah buat Allahyarham Long Manab.

No comments: